Assalamualaikum dan salam sejahtera ibu-ibu.

Hari ini kita bercerita tentang buaian. Buaian yang saya maksudkan ialah jenis buaian untuk tidurkan bayi. Biasa kita lihat ibu bapa secara tradisionalnya menggantungkan kain pada spring untuk menidurkan bayi kan? Dan dikatakan bayi mudah lena di dalamnya, akibat pergerakan menggoyang buaian tersebut.

Namun begitu, sedarkan ibu-ibu buaian bayi boleh mengakibatkan kecederaan serius kepada bayi anda?

Dr Wintson Yong, seorang Pakar Pediatrik menjelaskan “Katil bayi adalah lebih selamat berbanding buaian untuk bayi tidur. Ia boleh menyebabkan risiko kecederaan khasnya jatuh dari tempat tinggi”

Sementara itu, rakannya Dr Jeniffer Hor menegaskan lagi “Buaian yang menggunakan sarung membuatkan postur badan bayi berada dalam keadaan bongkok. Malah kecederaan boleh berlaku akibat jatuh, pendarahan otak juga boleh berlaku kepada bayi akibat dihayun terlalu kuat dan terhantuk”.

Beberapa langkah berjaga yang boleh di amalkan jika puan masih ingin menggunakan buaian ini termasuklah :

  1. Gunakan rangka buaian berbentuk 4 segi (yang mempunyai 2 tiang) kerana ia lebih stabil berbanding rangka berbentuk 3 segi.
  2. Alaskan bahagian bawah buaian menggunakan tilam atau bantal sebagai persediaan jika bayi jatuh dari buaian.
  3. Laraskan buaian serendah mungkin untuk mengurangkan risiko kecederaan jika bayi jatuh.
  4. Elakkan penggunaan motor elektrik yang menghayun buaian secara automatik. Buaian automatik ini secara tidak langsung telah mengurangkan perhatian terhadap bayi yang sedang tidur. Motor elektrik (yang berat itu) juga berisiko jatuh ke atas bayi.
  5. Pastikan jarak antara buaian dari lantai dan ke dinding mencukupi agar kepala bayi tidak terhentak ketika dibuai.
  6. Jangan masukkan bantal, selimut dan sebagainya ke dalam buaian bersama bayi; dikhuatiri menutup muka bayi secara tidak sengaja dan menyebabkan bayi lemas.
  7. Pastikan bayi sentiasa dalam keadaan terlentang ketika tidur dalam buaian.

Walaupun tips-tips keselamatan ini diamalkan, risiko kecederaan tetap ada. Sebaiknya, elakkan daripada memperkenalkan buaian kepada bayi anda.