Kemurungan Ketika Hamil. Adakah Anda Sedang Mengalaminya?

Home » Tateh Blog » Kemurungan Ketika Hamil. Adakah Anda Sedang Mengalaminya?

Kemurungan Ketika Hamil. Adakah Anda Sedang Mengalaminya?

Tahukah anda? Kira-kira 1 dalam 10 wanita mengalami kemurungan semasa hamil.

Apa tanda- tanda yang anda sedang mengalami kemurungan? 

jika anda mengalami salah satu daripada simptom-simptom berikut dalam beberapa minggu kebelakangan ini, ini mungkin tanda anda mengalami kemurungan:

perasaan sedih, keliru dan putus harapan
tidak dapat menumpukan perhatian;
sentiasa bimbang;
rasa sangat jengkel;
masalah tidur;
keletihan yang teruk atau berpanjangan;
keinginan untuk makan setiap masa atau tiada selera makan langsung;
perasaan bahawa tiada apa yang menggembirakan atau menyeronokkan;
terfikir untuk membunuh diri atau mencederakan diri sendiri.

Sesetengah simptom ini seperti keletihan dan perubahan dalam corak tidur dan makan juga adalah kesan sampingan kehamilan yang biasa.

Walau bagaimanapun, jika simptom-simptom anda berterusan selama berminggu-minggu atau bulan, dan mula mengganggu kehidupan seharian anda, anda mungkin mengalami kemurungan. Contohnya, jika anda mengalami kesukaran di tempat kerja kerana anda tidak boleh menumpukan perhatian, atau anda rasa sukar menyelesaikan apa-apa tugas di rumah.

Jangan tunggu sehingga anda sampai ke tahap ini sebelum mendapatkan bantuan. Jika anda mempunyai sebarang masalah dalam menangani emosi anda, adalah penting untuk berbincang dengan doktor anda secepat mungkin.

Apakah yang menyebabkan kemurungan ini?

Puncanya berbeza-beza mengikut individu. Salah satu penyebabnya ialah peristiwa dalam hidup yang memberi tekanan.

Kehamilan itu sendiri begitu menekankan dan boleh menyebabkan kemurungan. Bagi wanita yang sudahpun merasa tertekan akibat perkara-perkara lain, kehamilan mungkin menjadi pencetus yang menyebabkan kemurungan yang serius.

Jika anda sebelum ini pernah mengalami masalah kesihatan mental, anda lebih berkemungkinan mengalaminya semula semasa hamil atau selepas bersalin berbanding waktu-waktu lain dalam hidup anda. Masalah kesihatan mental yang ringan juga boleh menyebabkan isu, namun ianya berbeza dari seorang ke seorang yang lain.

Tambahan pula, sesetengah orang lebih berkemungkinan mengalami kemurungan beerbanding yang lain. Contohnya, jika keluarga anda mempunyai sejarah kemurungan atau anda mempunyai isu-isu lain seperti terasing daripada keluarga atau penggunaan dadah.

Faktor-faktor yang mungkin menyumbang kepada atau menyebabkan kemurungan semasa lain termasuk:

Masalah kewangan.
Kewangan keluarga boleh jadi membimbangkan semasa hamil. Tetapi jika anda benar-benar terdesak atau bimbang mengenai bagaimana anda akan menguruskan kewangan anda selepas bayi lahir, ini boleh jadi punca tekanan yang besar.

Masalah kehamilan.
Kehamilan yang bermasalah, contohnya yang menyebabkan mabuk hamil yang teruk, boleh mengganggu emosi. Jika anda tidak mahu hamil pada ketika ini, maka perkara ini juga akan menyumbang kepada kemurungan.

Perubahan dalam perhubungan. 
Anda mungkin tertanya-tanya bagaimana hubungan dengan suami anda akan berubah setelah anda menjadi ibu bapa. Atau jika anda sudahpun mempunyai anak, anda mungkin bimbang mengenai bagaimana anak-anak anda akan menerima kesan dengan kehadiran bayi baru.

Komplikasi dalam kehamilan terdahulu
Pengalaman hamil dan bersalin yang terdahulu boleh mencorak bagaimana anda rasa mengenai kehamilan ini. Kajian telah menunjukkan bahawa komplikasi dalam kehamilan terdahulu mempunyai kaitan dengan kemurungan pranatal.

Masalah kesuburan atau keguguran.
Jika anda mengalami banyak kesulitan untuk hamil, atau pernah mengalami keguguran di masa lalu, anda mungkin akan merasa risau mengenai kesihatan kandungan sekarang.

Jika salah satu daripada yang di atas menyebabkan anda bimbang, bincanglah dengan doktor anda supaya beliau boleh memberikan sokongan dan keyakinan.

Malangnya, anda juga lebih berkemungkinan mengalami kemurungan semasa dan selepas kehamilan jika anda adalah mangsa penderaan domestik.

Meminta bantuan boleh jadi sukar apabila anda terlibat dalam perhubungan yang melibatkan penderaan. Tetapi adalah biasa bagi keganasan rumah tangga dan penderaan emosi menjadi lebih teruk apabila anda hamil. Oleh itu sangat penting bagi anda bercakap dengan seseorang demi keselamatan anda dan bayi.

Jangan rasa bersalah kerana murung atau untuk meminta sebarang bantuan. Ingatkan diri anda bahawa kemurungan adalah penyakit, bukannya pilihan. Dengan bantuan dan sokongan yang betul, anda boleh pulih.

 

By |2018-03-16T14:42:47+00:00February 23rd, 2018|Uncategorized|0 Comments

About the Author:

Leave A Comment