Bayi Pramatang

Apabila doktor telah membenarkan bayi pramatang anda pulang ke rumah, pasti anda gembira tak terkata bukan? Dalam masa yang sama pasti risau juga. Persoalan seperti mampukah aku menjaga bayi dengan sempurna? Tidak perlu risau. Doktor lagi pakar. Sudah pasti dia tahu tahap kesihatan si bayi. Penjagaan rapi perlu dilakukan kepada bayi pra-matang bagi memastikan suhu badan bayi tidak mudah jatuh dan paras gula stabil. Kebiasaannya, bayi pramatang lahir dengan berat yang kurang daripada 2kg akan di tahan di wad kerana pelbagai komplikasi akan berlaku.

Bagaimanakah caranya menjaga bayi pramatang? Ikuti tips ini.

Perhatikan keadaan bayi

Seperti yang kita tahu, bayi pramatang ini lahir kurang daripada 37 minggu. Keadaan fizikal bayi pramatang lebih lemah jika dibandingkan dengan bayi normal. Oleh itu, sentiasa perhatikan keadaan bayi jika ada perubahan yang ketara sila rujuk kepada pakar. Kajian mengatakan bayi pramatang akan tidur 15 hingga 22 jam selepas keluar daripada hospital. Bayi akan banyak menangis apabila semakin hampir dengan tarikh atau hari sepatutnya bayi itu lahir.

Sentuhan ibu

Faktor utama bagi memastikan bayi pramatang berada dalam keadaan stabil dan selamat ialah melalui sentuhan ibu. Peluk mereka dengan erat, hal ini kerana secara tidak langsung akan mengeratkan hubungan silaturahim antara ibu dan anak. Selain itu, sentuhan ini penting kerana ianya boleh diibaratkan bayi terasa seperti dalam kandungan.

Posisi tidur dan pegang bayi

Sediakan tempat tidur bayi dengan gulungan selimut tebal seperti huruf U. Letakkan bayi seperti posisi di dalam Rahim. Kelebihan kedudukan ini ialah bayi akan merasa seperti dipeluk dan tidak akan mudah terperanjat. Apabila si ibu ingin mengangkat bayi, pastikan pegangan anda kemas tanpa membuatkan bayi tersentak. Pegang kedua-dua lengannya serapat mungkin sambal menahan leher dan punggungnya. Bedung bayi anda juga lebih baik.

Susu ibu

Susu ibu susu terbaik dunia yang terbukti secara klinikal mengandungi nutrien dan zat penting yang sangat baik untuk bayi. Sama seperti bayi normal, susu ibu juga makanan terbaik bagi bayi pramatang. Jika anda tidak dapat menyusukan, berbincanglah dengan doktor dengan segera untuk alterative lain.

Tenaga

Ini merupakan perkara paling penting dalam penjagaan bayi. Si ibu dan bapa mestilah bekerjasama menjaga si bayi. Si ibu penjaga utama perlukan rehat yang mencukupi. Jika anda tidak bertenaga bagaimana anda mahu jaga bayi anda secara sempurna?

Akhir kata, bersyukur dengan semua yang Allah SWT telah berikan. Anda berjaya melahirkan seorang bayi. Tahniah.