images

  • Aida sedang menyediakan makanan bayi pertama kali untuk anaknya alia, dia menyediakan bubur nasi untuk dikisar. Tiba tiba dia terfikir, adakah perlu meletakkan garam atau gula ke dalam makanan. Adakah bayinya boleh makan makanan yang tawar tanpa gula dan garam. Apa pendapat anda?
  • Encik Naim hampir setiap minggu akan makan di restoran makanan segera kegemaran anak mereka . Anak Encik Naim, berusia 2 tahun dan 5 tahun amat menggemari ubi kentang goreng dan nugget di restoran tersebut selain dapat mengumpul permainan percuma. Adakah perbuatan Encik Naim boleh membahayakan kesihatan anak anaknya pada jangka masa panjang?
  • Amira berusia 15 tahun. Amira diberi belanja wang secukupnya untuk membeli makan tengah hari dan malam memandangkan kedua ibu bapanya sibuk bekerja. Makanan segera dan minuman ringan menjadi pilihan Amira yang ingin cepat dan mengejar masa antara sekolah dan kelas tambahan. Adakah Amira membuat pilihan yang betul?

 

Senario di atas adalah senario yang biasa di hadapi hari ini. Pengambilan gula dan garam berlebihan berlaku tanpa disedari setiap hari. Kajian terkini mendapati rakyat Malaysia mengambil jumlah garam dan gula berlebihan berbanding keperluan harian mereka. Hasil Kajian Kesihatan dan Mobiditi Kebangsaan Kedua (National Health and Morbidity Survey NHSM) pada 1996 mendapati 33% dewasa berusia 30 tahun ke atas mengidap penyakit tekanan darah tinggi di Malaysia. Jumlah ini meningkat kepada 43% pada tahun 2006 seperti direkod di dalam NHMS ketiga Begitu juga dengan penyakit diabetes di mana Malaysia merupakan negara keempat mempunyai paling ramai pesakit diabetes di Asia dan purata rakyat Malaysia mengambil 26 sudu gula sehari berbanding keperluan hanya 10 sudu sehari atau 50gm gula sahaja.

Pencegahan bermula dari rumah dan sejak kecil

Tabiat dan pemilihan makanan terbentuk sejak kecil dan banyak dipengaruhi oleh ibu bapa. Bayi atau kanak kanak yang diberi garam dan gula berlebihan sejak kecil akan mempunyai tahap ambang rasa masin dan manis yang tinggi di mana lidah akan memerlukan jumlah garam dan gula yang lebih untuk merasa masin atau manis. Pengambilan garam dan gula yang berlebihan ketika kanak-kanak merupakan penyumbang peningkatan tekanan darah dan diabetes apabila dewasa kelak. Pada masa yang sama, kandungan garam yang tinggi juga boleh membahayakan buah pinggang. Oleh itu pemakanan kecil amat penting dalam menentukan kesihatan anak sehingga dewasa.

 

Keperluan garam dan gula.

Secara umumnya, garam berfungsi untuk mengawal keseimbangan cecair badan bagi memastikan otot dan saraf dapat berfungsi dengan baik. Selain itu, garam juga membantu mengekalkan tekanan darah pada tahap yang normal.Gula pula berfungsi untuk memberi tenaga segera di dalam darah terutamanya otak. Kanak-kanak perlukan sangat sedikit garam dalam makanan harian manakala gula banyak diperolehi daripada makanan rugi lain seperti nasi dan mee. Gula  daripada air manis dan makanan manis hanyalah berfungis sebagai gula tambahan sahaja.

download

Bayi ke 12 bulan

 Bagi bayi di bawah 1 tahun memerlukan kurang 1g garam sehari kerana buah pinggang bayi tidak dapat bertoleransi dengan jumlah yang melebihi paras ini. Sekiranya bayi menyusu, keperluan garam akan diperolehi daripada susu ibu ataupun susu formula. Satu sudu garam mengandungi 5g garam memberikan 2000mg sodum. Ini bermakna bayi anda hanya memerlukan satu perlima sudu garam sehari. Jumlah ini amatlah sedikit.

Oleh itu, jangan menambah garam ke dalam susu atau makanan bayi seperti bubur. Elakkan menggunakan stok, kiub atau perisa tabahan ke dalam makanan bayi atau kuah. Ini kerana jumlah garam di dalamnya amatlah tinggi. Sekiranya anda merancang memberikan makanan keluarga kepada bayi,rancang kandungan garam dan perisa yang ditambah. Asingkan makanan bayi daripada hidangan keluarga sebelum memasukkan garam atau gula ke dalamnya.  Elakkan memberi bayi anda makanan yang diproses kerana selalunya tinggi dengan garam. Antaranya yang selalu diberikan oleh ibu adalah kentang lecek , bubur segera dan biskut pelbagai perisa. Tukar kepada bubur kosong, biskut tawar manakala kuah kentang lecek dielakkan. Bagi produk bayi yang telah siap di pasaran, biasanya kandungan garam terlah dispesifikasikan agar sesuai dengan bayi. Namun begitu, amalkan membaca label makanan untuk mengelakkan pengambilan yang berlebihan.

 

Manakala gula pula, elakkan kekerapan memberi makanan manis seperti jeli, agar agar dan aiskrim kepada bayi anda. Ada ibu bapa yang suka menyuapkan anak makanan manis ketika anak mula belajar makan lagi. Tukar kepada buah buahan segar yang mempunyai rasa manis semula jadi. Rasa manis berlebihan menyebabkan lidah anak akan menyukai makanan manis berlebihan.

 

Kanak kanak pra sekolah 1 ke 6 tahun

girl_yogurt-162nq6a

Keperluan garam pada umur ini adalah 2gm sehari bagi uur 1 ke 3 tahun dan 3 gm sehari bagi 4 ke 6 tahun. Ini bersamaan dengan separuh sudu teh garam sahaja. Ketika ini kanak kanak telah pandai memilih makanan kegemaran mereka. Mereka hanya akan makanan tertentu yang disukai di mana biasanya akan tinggi gula dan garam seperti nugget, bebola ikan, gula gula, aiskrim dan air berkarbonat manakala menolak makanan sihat seperti buah buahan dan sayur sayuran. Ketegasan dan kebijaksanaan ibu bapa amat penting pada usia ini. Kadangkala usaha yang lebih diperlukan dalam membentuk tabiat pemakanan sihat.

Antara tips berkesan ialah

  • Elakkan membeli makanan proses di rumah dan gantikan dengan makanan segar. Buat sendiri bebola atau nugget ayam menggunakan daging kisar bagi mengawal jumlah gula dan garam. Buat kentang goreng di rumah dan kurangkan makanan segera di luar. Terdapat pelbagai resepi baru yang boleh dicuba.
  • Kenalkan anak dengan gula dan garam sejak kecil. Terangkan konsep makanan tinggi gula dan garam. Ketika usia bawah 7 tahun, minda anak seperti span dan akan menyerap semua informasi. Komunikasi bersama anak amat penting ketika ini.
  • Jangan jadikan makanan sebagai hadiah contohnya sekiranya berkelakuan baik akan dapat makan makanan segera di luar, dihadiahkan aiskrim atau gula gula. Ini menyebabkan anak akan membuat persepsi bahawa makanan tersebut istimewa dan akan sering memintanya lagi. Sebaliknya tawar aktiviti yang sihat sebagai hadiah, contohnya anak menyimpan mainan selepas bermain akan mendapat 5 minit berjalan dengan ayah di luar rumah atau dapat ke taman mainan.
  • Terap konsep makanan sihat dan tidak sihat sejak kecil lagi. Kaitkan makanan tidak sihat dengan sakit dan perkara tidak disukai. Anak saya berusia 4 dan 6 tahun mengaitkan air berkarbonat dengan rasa pedas dan sehingga sekarang tidak menggemarinya. Gula gula dan coklat pula dikaitkan dengan gigi rosak dan kanak kanak demam. Makanan tidak sihat jarang dibeli dan diperkenalkan kepada mereka sebaliknya buah buahan, roti dan makanan sihat menjadi makanan harian mereka.

 

Awal sekolah 7-10 tahun

download (1)

Pada masa ini tabiat pemakanan banyak dipengaruhi oleh kawan kawan. Kesan didikan awal akan dapat dilihat ketika ini. Mereka gemarkan makanan segera seperti kerepek segera, air tin, asam dan makanan diproses seperti burger. Mereka juga mudah dipengaruhi dengan iklan. Umur ini mereka cenderung untuk mengambil garam dan gula melebihi keperluan. Ketika ini keperluan garam hanyalah satu sudu sehari (5gm sehari).

Antara tips berkesan ialah

  • Sediakan bekalan makanan daripada rumah seperti sandwich, air susu dan buah buahan. Masukkan di dalam bekalan makanan harian. Galakkan membawa bekal air kosong ke kelas dan beli bekas makanan  kegemaran mereka bagi menggalakkan mereka makan bekal yang dibawa.
  • Galakkan menyimpan wang saku supaya wang yang diberi tidak dihabiskan untuk makanan ringan di luar. Belikan hadiah kegemaran atau bawa melancong apabila wang tanbungan telah mencukupi. Ajar anak memilih makanan sihat ketika membeli belah lagi.
  • Kurangkan berbelanja di restoran makanan segera di luar atau memesan makanan segera dihantar ke rumah sebaliknya pilih makanan yang sihat walaupun sibuk. Terdapat pelbagai pilihan restoran yang menawarkan makanan sihat seperti sup dan bakar pada masa ini. Sekiranya terdapat restoran pilihan anda, telefon dan buat tempahan awal untuk membungkus makanan agar anda menjimatkan masa menunggu.
  • Libatkan anak dalam proses penyediaan makanan. Ajak mereka masak sekali dan makan bersama mereka.

Remaja 11 tahun ke atas

Ketika ini remaja mengalami pertumbuhan sangat aktif samada fizikal atau hormon. Bagi remaja lelaki,mereka biasanya meninggi dengan cepat dan biasanya makan dengan banyak kerana aktif. Bagi remaja perempuan  mula risau dengan bentuk tubuh dan kadangkala cenderung mengambil makanan yang sedikit bagi menjaga bentuk badan. Keperluan garam ketika ini menyerupai dewasa iaitu (6gm sehari). Pemakanan juga hampir menyerupai pemakanan mereka ketika dewasa.  Pastikan anak remaja terus mengambil makanan kurang garam dan gula. Pilih makanan yang sihat seperti sayuran dan buah buahan. Kurangkan makanan segera dan lebihkan makan di rumah dan makanan sihat. Elakkan minuman berkarbonat dan lebihkan minum susu untuk perbentukan tulang. Yang paling penting ialah mengajar anak membuat pilihan makanan sihat tanpa kawalan ibu bapa supaya mereka dapat meneruskan tabiat ini sehingga dewasa.

 

Antara makanan yang tinggi garam:

  1. Sosej, burger dan makanan diproses
  2. Sos, kicap dan perisa tambahan.
  3. Makanan ringan.
  4. Jeruk.
  5. Makanan awet seperti ikan masin, telur masin dan budu.
  6. Makanan dalam tin.

Kuantiti maksimum pengambilan garam berdasarkan usia:

  • 1-3 tahun (2gm sehari)
  • 4-6 tahun (3gm sehari)
  • 7-10 tahun (5gm sehari)
  • 11 tahun ke atas (6gm sehari)

 

Kandungan gula tersembunyi di dalam makanan

  • Minuman karbonat 7 sudu teh gula
  • Coklat bar medium 5 sudu teh gula
  • Teh tarik 4 sudu teh gula
  • Jus buah buahan diproses 4 sudu teh gula

Artikel ini dimuatkan di dalam majalah ibu dan anak 2013. Ditulis oleh Siti Shafurah Abas